Pages

Wednesday, August 25, 2010

TeKNik Membuat Spiner Tenggiri

Sedar tidak sedar, Hari ini sudah masuk hari ke 15 Ramadhan. Bermakna telah 15 hari umat islam berpuasa.Didalam bulan ramdhan ini kebanyakan semua aktiviti memancing dihentikan buat seketika,termasuklah juga KKSPFT. Orang kata kalau dah cinta mesti angau yang akan menjelma. Begitu juga lah di dalam aktiviti memancing ini, kalau dah minat tak boleh turun mancing boleh tengok sungai pun jadi lah...

Aku tak kata pada orang lain,aku kata pada diri aku sendiri. Orang lain tu aku tak tahu lah,mungkin teruk lagi kot,hehhehe...Dalam bulan puasa ni dalam fikiran aku sentiasa berlegar2 tentang memancing,tengok je sungai aku terus je terfikir,best ni kalau dapat casting...Bukan aku tak boleh turun untuk melepaskan 'gian' tapi kalian semua faham2 lah keadaan kat rumah dalam bulan puasa ni,turun mancing kan tak pasal2 lak aku berbuka dengan air sejuk bila time berbuka nanti,hehehhe..

Untuk menghilangkan kebosanan aku serta 'kegianan' aku itu,aku memenuhi masa lapang dengan menservis peralatan memancing aku yang tak seberapa itu dan juga memperaktikkan beberapa ikatan yang aku telah pelajari sampaikan orang rumah aku pun naik boasan tengok aku duk asyik buat perambut pancing je...bukan apa,senang sikit untuk trip lepas raya nanti,hehehhhe...harap2 trip tu nanti jadi ye(*pesanan untuk kapten kami).

Melalut panjang lah plak aku ni...oklah,berbalik kepada kita punya tajuk.sebenarnya bukan susah kita nak buat spiner untuk casting tenggiri ni..kalian semua pun boleh buat sendiri..teknik aku blajar dari tekong kat tuas yan,kedah..teknik ni memang popular dan mujarab kat sebelah utara ni..Untuk menyenangkan kalian semua faham,aku rasa lebih baik aku letakkan gambar daripada kalian semua dengar aku punya penerangan..bukan apa, takut melalut kot lain je,hehehe...


Penyediaan bahan-bahan

Mengikat hook

Hasilnya....

aku harap kalian semua dapat sedikit gambaran hasil daripada apa yang aku sampaikan ini....
*tip: nak main casting pakai spiner ni,bulu or gewang kat laut perlulah dikarau laju barulah ikan minat nak sambar umpan.kalau tak ikan just follow je umpan..macam mana nak bagi dapat karau laju,kalian pakailah reel yang mempunyai gear ratio sekurang-kurangnya 6.0 ke atas...

Sunday, August 8, 2010

Persediaan memancing ikan di pantai

1. Umpan untuk kegunaan memancing di pantai boleh disenaraikan seperti berikut:

i) Udang segar (hidup lebih baik).

ii) Perumpum sarang/pantai.

iii) Hirisan ikan (kembung, selar, selayang).

iv) Sotong pasar (cumit sesuai).

v) Sotong kurita.

vi) Anak ikan belanak.

vii) Ikan muara seperti beliak mata, selangat, bilis air, bulu ayam, rencang rebung dan kasai.

viii) Ketam angin/anak ketam batu.

ix) Roti untuk umpan belanak besar.

x) Roti canai/daging ayam untuk ikan kuku.

xi) Siput, kerang, kupang dan isi cengkerang lain.

2. Saiz batu ladung boleh menentukan jarak baling. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran. Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.

3. Perambut mulakan dengan 20 hingga 60 paun bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan. Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12 paun amat sesuai.

4. Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).

5. Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang. Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh. Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis terbuka dan gegendung jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.

Fahami keupayaan kekeli sebelum membeli

Fahami keupayaan kekeli sebelum membeli


Maksud ‘bearing’, ‘gear ratio’ dan ‘line capacity’ yang biasanya tertera pada spesifikasi produk kekili.



Bearing – Jumlah alas bebola yang digunakan dalam sesebuah mesin/kekili. Contohnya ‘3 ball bearing’ bermaksud terdapat 3 alas bebola yang digunakan dalam kekili.

Alas bebola bertujuan untuk melancarkan pergerakan objek yang berpusing dengan mengurangkan rintangan di antara dua objek.

Terdapat kekili yang dipasang dengan 10 alas bebola keluli tahan karat. Semakin banyak terdapat alas bebola semakin mahal kekili terbabit.

Namun terdapat masalah di sebalik terlalu banyak alas bebola, jika tidak dijaga akan menyebabkan pergerakan kekili tersangkut-sangkut dan mengeluarkan bunyi yang tidak disenangi.

Alas bebola ini boleh diganti jika haus atau rosak.

# Gear ratio – Ini adalah nisbah pergerakan putaran kekili berbanding putaran gelendung tangsi. Contohnya 4.9:1 membawa maksud satu pusingan karauan gelendung tangsi akan berpusing sebanyak 4.9 kali.

Semakin besar nisbah semakin laju kemampuan kekili berkenaan mengulung kembali tangsi ke dalam gelendungnya.

# Line Capacity – Perkataan ini merujuk kepada panjang tangsi yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili. Semakin halus diameter tangsi semakin banyak muatan tangsi boleh disimpan di dalam gelendung.

Terdapat dua jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili iaitu ib/yd atau dia/m.

Untuk ib/yd ia membawa makna kekuatan tangsi dalam paun dan panjang yang boleh diisi dalam ela.

# Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tangsi yang boleh dimuatkan dalam meter. Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tangsi 0.5 inci boleh diisi sepanjang 200 meter di dalam gelendung kekili.

Tiga teknik pikat siakap kolam

Kalau disebut ikan kolam, ia ikan peliharaan sejak kecil. Jadi, ikan peliharaan biasanya diberi makan dedak dan ikan hancur. Namun sifat semula jadi ikan ialah ia dapat menilai makanan dan bijak membuat pilihan apabila bebas dari sangkar. Tiga jenis umpan terbaik untuk siakap kolam ialah udang, belanak dan beliak mata. Udang dan belanak hidup lebih mujarab manakala beliak mata sesuai dihiris.

Perambut 50 paun sama ada jenis biasa atau florokarbon biasa digunakan. Jika perambut terlalu kasar maka renangan ikan dan udang hidup tidak begitu menarik. Mata kail biasa digunakan ialah saiz 3/0 hingga 5/0 (Gamakatsu, Owner, Mustard) atau bernombor 8 untuk mata kail jenis Berkley, Marotu dan Shino.

Tiga teknik utama pemancing kolam iaitu menggunakan pelampung, teknik dasar tanpa ladung dan teknik ‘casting’ udang pasar (kopek kulit). Pemilihan teknik ini berpandukan kepada potensi semasa. Lihat sekeliling pemancing lain yang dapat ikan dan rujuk teknik yang efektif ketika itu. Ini kerana sifat ikan kolam kadang kala meronda dasar dan kadang kala berada di pertengahan kolam.

Cara ikat perambut dawai dengan tangsi



Sila rujuk kepada ikatan Albright berikut. Untuk tangsi, ia adalah warna merah dan warna oren pula mewakili perambut dawai. Lilit tangsi pada dawai dengan kemas dan ketat sebanyak 10 hingga 12 lilitan sebelum puncanya dimatikan pada hujung perambut dawai seperti gambar 3. Kemudian tarik tangsi sehingga ketat dan rapat ke hujung perambut dawai. Untuk kemasan terakhir potong kedua lebihan tangsi dan perambut dawai seperti gambar di bawah sekali.

Ikatan ini banyak saya lihat digunakan oleh tekong-tekong tempatan ketika menyambung perambut tangsi dengan perambut dawai.

Persediaan asas memancing di laut dalam

Kekili - Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar menjadi tapi teknik hanyut, jigging, popping dan tundaan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan (jatuh dalam laut).

Joran - Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 2 meter (5.5 kaki) hingga 2.5 meter (6.5 kaki) dengan aksi berat 30/80 paun, 50/80 paun atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3-PE5 panjang 2 meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, oran 2.5 meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).

Saiz tali - Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80 paun hingga 100 paun untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50 paun hingga 80 paun jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam (braided) 60 paun hingga 80 paun dan disambung dengan tangsi kekuatan 80 paun hingga 100 paun sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).

Batu ladung - Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama – Laut China Selatan. Biasanya memancing di laut hanya perlu membawa ladung mati bersaiz dari saiz 8 hingga 24 atau 32 jika di Pantai Barat. Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada masa memancing dan yang penting ialah sentiasa ada ladung tambahan jika berlaku tali pancing sangkut atau putus.

Perambut - Pastikan setiap trip laut dalam set perambut perlu dibawa berkekuatan minimum 30 paun hingga 100 paun tidak kira apa jenama atau harga. Gunakan perambut cerah atau sedikit kebiruan serta kehijauan dan seakan-akan warna air. Ada pemancing gemar menggunakan perambut keras dan sebaliknya. Kedua-duanya boleh digunakan asalkan perambut yang tahan kejutan (shock leader), tahan calar, tidak mudah kerinting atau bersimpul. Ada juga perambut di katakan memiliki tahap penglihatan amat rendah atau tiada langsung dalam air. Perambut ini juga dikenali sebagai perambut hantu (zero visibility).

Teknik - Jigging dan popping boleh gunakan perambut kasar sama ada siang dan malam tanpa masalah. Teknik memancing sudah nyatakan dan setiap jawapan bermula daripada pancing dasar (bottom) tundaan (trolling), hanyut (drifting), pertengahan air (mid), jigging, popping dan candat sekiranya perlu mendapatkan umpan sotong. Satu lagi perkara yang merujuk tentang teknik memancing ialah jarak perambut untuk pancing dasar ialah 2 hingga 3 depa diikat pada 2 mata kail 1/0 di depan dan 3/0 @ 4/0 di hujungnya. Atau mengunakan teknik apollo 2 mata jika kawasan berlabuh adalah karang tinggi.

Waktu - Saya tidak dapat nyatakan dengan tepat kerana ia perlu dirujuk lokasi yang bakal dikunjungi. Lebih afdal kalau kita minta khidmat nasihat dan pandangan kaki pancing yang pernah berkunjung di kawasan tertentu atau tepat minta pandangan tekong yang bakal kita tempah. Untuk masa pula, ikan lebih aktif dan galak waktu malam hari dan setiap kali berlaku perubahan arus. Ketika tiada arus ikan biasanya pasif walaupun paparan pada sonar terdapat banyak ikan di bawah. Jadi pedoman sampingan ialah rujuk jadual pasang surut (masa) untuk satu-satu lokasi yang bakal kita kunjungi. Set penggera pada telefon bimbit untuk setiap kali akan berlaku perubahan pasang surut air kerana waktu inilah kita perlu berjaga-jaga dengan lenturan yang bakal dikecapi di hujung joran.